KEDAH

Wednesday, December 12, 2007

MATAWANG EMAS SULTAN MUHAMMAD JIWA ZAINAL ADILIN SYAH I

Negeri Kedah Darul Aman adalah antara negeri-negeri yang paling awal terbentuk di rantau Alam Melayu kita ini. Dengan itu, semenjak lama, Kedah telah berjaya menjalankan pentadbirannya dengan baik. Kemantapan pemerintahan kesultanan ini telah menjadikannya begitu stabil, sehingga dapat mengadakan suatu sistem matawang yang teratur.

Rakyat Kedah kini boleh berbangga dengan pencapaian nenek moyang kita, yang boleh memantapkan semangat jatidiri kita untuk terus bergerak ke hadapan. Kedah didapati telah berjaya mengeluarkan beberapa jenis matawang yang dibuat daripada emas, perak, tembaga dan timah, dalam beberapa bentuk.

Bukan semua kesultanan-kesultanan yang telah wujud di Nusantara ini yang berjaya mengeluarkan matawang emas sendiri. Daripada banyak kerajaan di sini, hanya Kedah, Patani-Kelantan, Trengganu, Johor, Pasai-Acheh (Sumatera) dan Makassar (Sulawesi) sahaja yang didapati pernah mengeluarkan matawang emas sendiri. Kerajaan-kerajaan lain kebanyakannya hanya menggunakan matawang yang dibuat daripada timah atau tembaga sahaja.

Terdapat dua jenis matawang emas yang lazim dikeluarkan untuk peredaran, iaitu yang besar dinamakan SATU MAS dan yang lebih kecil dinamakan SATU KUPANG. Menurut kiraan timbangan cara lama, yang Satu Mas mempunyai berat bersamaan dengan 20 biji saga kundi (menurut timbangan sekarang ialah bersamaan dengan 2.4 gram), manakala yang Satu Kupang beratnya bersamaan dengan 5 biji saga kundi (bersamaan dengan 0.60 gram sekarang). Oleh itu, Empat Kupang bersamaan dengan Satu Mas.


SATU KUPANG SULTAN MUHAMMAD JIWA:

Dalam simpanan Muzium Negeri Kedah sekarang terdapat sejenis matawang emas yang dikatakan ditemui di Kampung Siputih, dalam daerah Kubang Pasu, Kedah, iaitu suatu kawasan yang pernah menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Kedah selama beberapa ratus tahun. Ada beberapa lagi matawang yang tersimpan di muzium ini, tetapi pada kali ini hanya akan diperkenalkan jenis keluaran Sultan Muhammad Jiwa dahulu.

Pada permukaan hadapan matawang emas ini tertulis dalam huruf Jawi sepenuhnya berbunyi: SULTAN MUHAMMAD JIWA. (Lihat gambar 1). Oleh itu, tidak ada pertikaian langsung tentang zaman penggunaan matawang emas ini, iaitu dalam zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Shah II, yang memerintah Kedah antara tahun 1710 hingga 1778 Masihi, atau antara tahun 1122 hingga 1194 Hijrah.

Gambar 1: Permukaan hadapan Kupang Emas Kedah
Bertulis ’Sultan Muhammad Jiwa’

Pada permukaan belakang matawang emas ini terdapat tulisan Jawi/Arab: ADILIN SHAH, 1147. Tahun 1147 Hijrah adalah bersamaan dengan tahun 1734 Masihi. Tahun yang tertera di sini telah menjelaskan bahawa ia adalah keluaran zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Ke-II. Kewujudan matawang ini telah memperkukuh pendapat bahawa gelaran bagi baginda Sultan Muhammad Jiwa adalah ’Zainal Adilin Shah’, bukan ’Zainal Abidin Shah’. Agak menarik juga untuk diperkatakan di sini bahawa ’angka 4’ yang digunakan pada tahunnya ialah angka 4 jenis Parsi, bukan angka 4 yang lazim digunakan oleh orang-orang Arab. Mungkin pada masa itu boleh dikatakan bahawa pengaruh Parsi agak kuat dikalangan orang Kedah. (Lihat gambar 2).

Gambar 2: Permukaan belakang Kupang Kedah
bertarikh 1147 Hijrah (= 1734 Masihi)

Matawang emas ini berukuran 12 mm garispusat dan beratnya ialah 0.58 gram. Oleh itu, jelaslah bahawa ia adalah jenis SATU KUPANG.

Sultan Muhammad Jiwa II adalah seorang yang alim dan suka mengembara menuntut ilmu. Pada masa kekandanya mangkat, iaitu Sultan Ahmad Tajuddin, baginda sedang berada di luar negeri, sedangkan baginda adalah calon untuk menggantikan sultan sebagai pemimpin negeri. Pada masa itu, bukan senang hendak mencari orang yang berada di luar negeri. Akhirnya baginda ditemui di kawasan perairan Mergui, dalam negeri Burma. Maka baginda pun di bawa pulang oleh rombongan yang ditugaskan mencarinya.

Baginda mula memerintah Kedah dalam tahun 1710 Masihi. Pada mulanya baginda bersemayam di Bukit Pinang, kemudian baginda berpindah untuk mengasaskan pembukaan KOTA SETAR, dalam bulan Disember tahun 1735 Masihi. Semenjak itu kawasan Kota Setar telah berkembang pesat sebagai pusat pemerintahan dan pusat perniagaan Kedah hinggalah pada masa sekarang. Ketika sedang uzur, baginda berpindah ke Kangar dan mangkat di sana.

Dalam masa pemerintahan baginda, Kedah telah berkembang semakin pesat. Dengan itu, matawang emas tidak mencukupi untuk menampung keperluan rakyat. Dalam masa yang sama, matawang perak dari barat sedang banyak digunakan dirantau ini. Oleh itu, baginda telah memanggil pembesar untuk bermesyuarat supaya mengubah sistem matawang cara lama yang hanya bersandarkan pada emas. Mesyuarat telah memutuskan supaya perak juga dijadikan matawang utama untuk kegunaan dalam negeri Kedah. Dengan itu mulalah ditempa matawang perak yang dinamakan DARHAM. Nilai Satu Darham perak pada masa itu telah ditetapkan sebagai sama dengan Satu Kupang emas. Ini adalah suatu perubahan besar yang tidak dilakukan oleh negeri-negeri lain di rantau ini. (Matawang perak ini akan diperkenalkan dalam penulisan yang lain).

Beberapa jenis matawang lain pernah juga ditemui di Kedah. Antaranya ialah sejenis matawang emas yang bertulis ’SULTAN’ dipermukaan hadapannya, dan di permukaan belakangnya bertulis ’ADILIN’. Ukurang matawang emas ini ialah 10.5 mm dan beratnya ialah 0.60 gram ( 5 saga kundi). Oleh itu ia adalah jenis Satu Kupang juga. Dipercayai matawang jenis ini juga adalah keluaran dalam zaman Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin kerana gelaran yang terdapat pada kupang ini sesuai dengan gelaran baginda. Cuma yang menjadi sedikit perselisihan pendapat ialah bahawa ada kemungkinan kupang yang tidak mempunyai tarikh ini, dikeluarkan dalam zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Pertama, yang memerintah di Kota Siputih antara tahun 1472 hingga 1501 Masihi. (Lihat gambar 3 dan 4).

Gambar 3 dan 4:
Permukaan hadapan bertulis ’Sultan’ dan
Permukaan belakangnya bertulis ’Adilin’.
Ada kemungkinan kupang ini digunakan
dalam zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa
Zainal Adilin Shah yang Pertama, yang memerintah
Di Kota Siputih antara tahun 1472-1501 Masihi.

Sejenis lagi matawang emas yang ditemui di Kedah ialah jenis kupang juga. Pada permukaan hadapannya bertulis : ’SULTAN ADILIN’, manakala permukaan belakangnya bertulis ’AKBAR SHAH’. Namun, tidak ada tarikh tertulis padanya dan menjadikan kita sukar menentukan zaman penggunaannya. Dan kemungkinan ia juga adalah jenis yang pernah dikeluarkan semasa pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin (Pertama atau Kedua) tidak dapat diketepikan begitu sahaja. (Lihat gambar 5 dan 6).

Gambar 5 dan 6:
Permukaan hadapan bertulis ’SULTAN ADILIN’
manakala permukaan belakangnya bertulis
’AKBAR SHAH’.

Rujukan:
1. Muhammad Hassan bin Dato Kerani Muhammad Arshad, 1927. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, Edisi Rumi cetakan tahun 1968, terbitan DBP, Kuala Lumpur.
2. Saran Singh, 1986. The Encyclopaedia of the Coins of Malaysia, Singapore and Brunei: 1400-1986, MNS Publication, Kuala Lumpur.
3. Wan Shamsuddin Mohd Yusof, Dato’,1992. Kedah Darul Aman Sepanjang Zaman, terbitan Lembaga Muzium Negeri Kedah.
4. Ibrahim Bakar Langkawi, 2006. Sejarah Matawang Negeri Kedah dan Perlis, terbitan PSMCK, Alor Star.

No comments:

Post a Comment