MyCoin Gallery

MyCoin Gallery is the achronym for THE MALAY-STATES COINS AND INFORMATION GALLERY

Wednesday, December 12, 2007

MATAWANG EMAS SULTAN MUHAMMAD JIWA ZAINAL ADILIN SYAH I

Negeri Kedah Darul Aman adalah antara negeri-negeri yang paling awal terbentuk di rantau Alam Melayu kita ini. Dengan itu, semenjak lama, Kedah telah berjaya menjalankan pentadbirannya dengan baik. Kemantapan pemerintahan kesultanan ini telah menjadikannya begitu stabil, sehingga dapat mengadakan suatu sistem matawang yang teratur.

Rakyat Kedah kini boleh berbangga dengan pencapaian nenek moyang kita, yang boleh memantapkan semangat jatidiri kita untuk terus bergerak ke hadapan. Kedah didapati telah berjaya mengeluarkan beberapa jenis matawang yang dibuat daripada emas, perak, tembaga dan timah, dalam beberapa bentuk.

Bukan semua kesultanan-kesultanan yang telah wujud di Nusantara ini yang berjaya mengeluarkan matawang emas sendiri. Daripada banyak kerajaan di sini, hanya Kedah, Patani-Kelantan, Trengganu, Johor, Pasai-Acheh (Sumatera) dan Makassar (Sulawesi) sahaja yang didapati pernah mengeluarkan matawang emas sendiri. Kerajaan-kerajaan lain kebanyakannya hanya menggunakan matawang yang dibuat daripada timah atau tembaga sahaja.

Terdapat dua jenis matawang emas yang lazim dikeluarkan untuk peredaran, iaitu yang besar dinamakan SATU MAS dan yang lebih kecil dinamakan SATU KUPANG. Menurut kiraan timbangan cara lama, yang Satu Mas mempunyai berat bersamaan dengan 20 biji saga kundi (menurut timbangan sekarang ialah bersamaan dengan 2.4 gram), manakala yang Satu Kupang beratnya bersamaan dengan 5 biji saga kundi (bersamaan dengan 0.60 gram sekarang). Oleh itu, Empat Kupang bersamaan dengan Satu Mas.


SATU KUPANG SULTAN MUHAMMAD JIWA:

Dalam simpanan Muzium Negeri Kedah sekarang terdapat sejenis matawang emas yang dikatakan ditemui di Kampung Siputih, dalam daerah Kubang Pasu, Kedah, iaitu suatu kawasan yang pernah menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Kedah selama beberapa ratus tahun. Ada beberapa lagi matawang yang tersimpan di muzium ini, tetapi pada kali ini hanya akan diperkenalkan jenis keluaran Sultan Muhammad Jiwa dahulu.

Pada permukaan hadapan matawang emas ini tertulis dalam huruf Jawi sepenuhnya berbunyi: SULTAN MUHAMMAD JIWA. (Lihat gambar 1). Oleh itu, tidak ada pertikaian langsung tentang zaman penggunaan matawang emas ini, iaitu dalam zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Shah II, yang memerintah Kedah antara tahun 1710 hingga 1778 Masihi, atau antara tahun 1122 hingga 1194 Hijrah.

Gambar 1: Permukaan hadapan Kupang Emas Kedah
Bertulis ’Sultan Muhammad Jiwa’

Pada permukaan belakang matawang emas ini terdapat tulisan Jawi/Arab: ADILIN SHAH, 1147. Tahun 1147 Hijrah adalah bersamaan dengan tahun 1734 Masihi. Tahun yang tertera di sini telah menjelaskan bahawa ia adalah keluaran zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Ke-II. Kewujudan matawang ini telah memperkukuh pendapat bahawa gelaran bagi baginda Sultan Muhammad Jiwa adalah ’Zainal Adilin Shah’, bukan ’Zainal Abidin Shah’. Agak menarik juga untuk diperkatakan di sini bahawa ’angka 4’ yang digunakan pada tahunnya ialah angka 4 jenis Parsi, bukan angka 4 yang lazim digunakan oleh orang-orang Arab. Mungkin pada masa itu boleh dikatakan bahawa pengaruh Parsi agak kuat dikalangan orang Kedah. (Lihat gambar 2).

Gambar 2: Permukaan belakang Kupang Kedah
bertarikh 1147 Hijrah (= 1734 Masihi)

Matawang emas ini berukuran 12 mm garispusat dan beratnya ialah 0.58 gram. Oleh itu, jelaslah bahawa ia adalah jenis SATU KUPANG.

Sultan Muhammad Jiwa II adalah seorang yang alim dan suka mengembara menuntut ilmu. Pada masa kekandanya mangkat, iaitu Sultan Ahmad Tajuddin, baginda sedang berada di luar negeri, sedangkan baginda adalah calon untuk menggantikan sultan sebagai pemimpin negeri. Pada masa itu, bukan senang hendak mencari orang yang berada di luar negeri. Akhirnya baginda ditemui di kawasan perairan Mergui, dalam negeri Burma. Maka baginda pun di bawa pulang oleh rombongan yang ditugaskan mencarinya.

Baginda mula memerintah Kedah dalam tahun 1710 Masihi. Pada mulanya baginda bersemayam di Bukit Pinang, kemudian baginda berpindah untuk mengasaskan pembukaan KOTA SETAR, dalam bulan Disember tahun 1735 Masihi. Semenjak itu kawasan Kota Setar telah berkembang pesat sebagai pusat pemerintahan dan pusat perniagaan Kedah hinggalah pada masa sekarang. Ketika sedang uzur, baginda berpindah ke Kangar dan mangkat di sana.

Dalam masa pemerintahan baginda, Kedah telah berkembang semakin pesat. Dengan itu, matawang emas tidak mencukupi untuk menampung keperluan rakyat. Dalam masa yang sama, matawang perak dari barat sedang banyak digunakan dirantau ini. Oleh itu, baginda telah memanggil pembesar untuk bermesyuarat supaya mengubah sistem matawang cara lama yang hanya bersandarkan pada emas. Mesyuarat telah memutuskan supaya perak juga dijadikan matawang utama untuk kegunaan dalam negeri Kedah. Dengan itu mulalah ditempa matawang perak yang dinamakan DARHAM. Nilai Satu Darham perak pada masa itu telah ditetapkan sebagai sama dengan Satu Kupang emas. Ini adalah suatu perubahan besar yang tidak dilakukan oleh negeri-negeri lain di rantau ini. (Matawang perak ini akan diperkenalkan dalam penulisan yang lain).

Beberapa jenis matawang lain pernah juga ditemui di Kedah. Antaranya ialah sejenis matawang emas yang bertulis ’SULTAN’ dipermukaan hadapannya, dan di permukaan belakangnya bertulis ’ADILIN’. Ukurang matawang emas ini ialah 10.5 mm dan beratnya ialah 0.60 gram ( 5 saga kundi). Oleh itu ia adalah jenis Satu Kupang juga. Dipercayai matawang jenis ini juga adalah keluaran dalam zaman Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin kerana gelaran yang terdapat pada kupang ini sesuai dengan gelaran baginda. Cuma yang menjadi sedikit perselisihan pendapat ialah bahawa ada kemungkinan kupang yang tidak mempunyai tarikh ini, dikeluarkan dalam zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Pertama, yang memerintah di Kota Siputih antara tahun 1472 hingga 1501 Masihi. (Lihat gambar 3 dan 4).

Gambar 3 dan 4:
Permukaan hadapan bertulis ’Sultan’ dan
Permukaan belakangnya bertulis ’Adilin’.
Ada kemungkinan kupang ini digunakan
dalam zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa
Zainal Adilin Shah yang Pertama, yang memerintah
Di Kota Siputih antara tahun 1472-1501 Masihi.

Sejenis lagi matawang emas yang ditemui di Kedah ialah jenis kupang juga. Pada permukaan hadapannya bertulis : ’SULTAN ADILIN’, manakala permukaan belakangnya bertulis ’AKBAR SHAH’. Namun, tidak ada tarikh tertulis padanya dan menjadikan kita sukar menentukan zaman penggunaannya. Dan kemungkinan ia juga adalah jenis yang pernah dikeluarkan semasa pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin (Pertama atau Kedua) tidak dapat diketepikan begitu sahaja. (Lihat gambar 5 dan 6).

Gambar 5 dan 6:
Permukaan hadapan bertulis ’SULTAN ADILIN’
manakala permukaan belakangnya bertulis
’AKBAR SHAH’.

Rujukan:
1. Muhammad Hassan bin Dato Kerani Muhammad Arshad, 1927. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, Edisi Rumi cetakan tahun 1968, terbitan DBP, Kuala Lumpur.
2. Saran Singh, 1986. The Encyclopaedia of the Coins of Malaysia, Singapore and Brunei: 1400-1986, MNS Publication, Kuala Lumpur.
3. Wan Shamsuddin Mohd Yusof, Dato’,1992. Kedah Darul Aman Sepanjang Zaman, terbitan Lembaga Muzium Negeri Kedah.
4. Ibrahim Bakar Langkawi, 2006. Sejarah Matawang Negeri Kedah dan Perlis, terbitan PSMCK, Alor Star.

RE-VIVA HUBUNGAN LANGKAT-KEDAH

PENDAHULUAN

Perhubungan Kedah-Langkat bukanlah baru sehari dua. Semenjak beratus tahun dahulu, hubungan antara kedua buah negeri telah terjalin. Istimewanya, hubungan bukan sahaja berlaku di kalangan rakyat jelata, tetapi jalinan ‘matrimonial’ antara keluarga diraja kedua buah negeri telah terjadi semenjak lama. Jalinan perkahwinan itu telah mempererat hubungan rakyat jelata, yang sebenarnya memiliki jiwa dan budaya yang sama.

PENGENALAN RINGKAS NEGERI LANGKAT

Negeri Langkat terletak di kawasan pantai timur Sumatera sebelah utara, yang meliputi kawasan Tanjung Pura, Pengkalan Susu, Hinai, Stabat, Binjai dan sekitarnya. Negeri ini bersempadan dengan negeri Deli dan Serdang di sebelah selatannya.

Negeri Langkat dihuni oleh majoriti orang Melayu. Mereka bertutur dalam Bahasa Melayu dialek Langkat. (Orang Melayu adalah penduduk majoriti di Sumatera Utara, terutamanya di Bandar Medan, Bandar Tebing Tinggi, Bandar Tanjung Balai, Bandar Binjai, Bandar Kisaran, Negeri Deli-Serdang, Negeri Asahan, Negeri Langkat dan Negeri Labuhan Batu. Bahasa harian mereka adalah Bahasa Melayu, dengan sedikit perbezaan dialek antara satu dengan yang lain).

Negeri ini pernah mempunyai pemerintahan beraja yang teratur, dengan pusat pemerintahannya bertempat di TANJUNG PURA.

Pada zaman awalnya, kawasan Sumatera Utara, termasuk negeri Langkat ini berada di bawah naungan empayar Acheh. Pada masa itu Langkat boleh dikatakan suatu kawasan naungan yang kecil, dipimpin oleh pembesar boleh dikatakan sebagai Raja yang bernaung di bawah payung Sultan yang lebih besar, iaitu Sultan Acheh.

Menurut ’teromba’ kesultanan Langkat, raja yang mula-mula mendirikan kerajaan Langkat ialah Dewa Shahdan (1500-1580), yang berasal dari Negeri Haru (Deli Tua), tetapi telah berpindah ke Langkat kerana telah diserang oleh tentera Acheh dalam tahun 1536. Dalam peristiwa serangan itu, puteri baginda bernama Puteri Hijau telah ditawan oleh tentera Acheh, manakala puteranya Dewa Sakti diberitakan telah ghaib. Berikutnya, putera Dewa Sakti yang bernama Raja Kahar telah menyambung pemerintahan di Langkat, bersemayam di Kota Dalam.

Setelah itu pemerintahan negeri Langkat disambung oleh putera Raja Kahar yang bernama Raja Badiuzzaman, iaitu kira-kira dalam abad ke-18. Raja Badiuzzaman ini memiliki 4 orang putera, iaitu Kejuruan Tuwa Hitam, Raja Indera Bungsu, Raja Wan Jabar dan Raja Syahban. Setelah kemangkatan ayahanda mereka, pemerintahan Langkat telah dipecahkan kepada kawasan autonomi yang dikuasa secara berasingan. Ini menjadikan pentadbiran kawasan ini menjadi semakin lemah.

Berikutnya dalam tahun 1815, tentera kerajaan Siak telah datang menyerang Langkat dan akhirnya Langkat menyerah kalah dalam tahun 1823. Pada masa itu, putera Kejuruan Tuwa Hitam yang bernama Raja Nobat Syah dan putera Indera Bungsu yang bernama Raja Ahmad (sumber lain menyebutnya Raja Amat) telah ditawan oleh tentera Siak dan dibawa pulang ke sana.

Setelah kedua mereka itu dikahwinkan dengan puteri-puteri bangsawan Siak maka mereka dibenarkan pulang ke Langkat untuk mentadbir Langkat sebagai negeri naungan Siak. Namun, setelah itu berlaku pula perselisihan yang mengakibatkan perang saudara, sehingga melibatkan bantuan negeri-negeri jiran seperti Deli dan Serdang. Akibatnya, kedua-dua raja yang berselisih itu telah mangkat kerana diracun. Ada sumber lain yang mengatakan bahawa Raja Ahmad / Raja Amat telah memerintah Langkat hingga tahun 1840.

Berikutnya, putera Raja Ahmad yang bernama Tengku Musa telah dipilih untuk menduduki takhta. Sumber lain menyebut pengganti Raja Amat ialah Tengku Ngah.

Tengku Ngah adalah nama lain bagi Tengku Musa, yang juga dikenali sebagai Pangeran Musa. Baginda dilahirkan dalam tahun 1807. Baginda memimpin Langkat mulai tahun 1840, sehingga kemudian baginda dilantik menjadi Sultan Langkat yang pertama dalam tahun 1887.

Dalam pada itu, orang Belanda telah mula menguasai perdagangan dalam perairan Melayu, dengan terdirinya pusat kekuasaan Belanda di Batavia dalam tahun 1619. Berikutnya, perlahan-lahan penguasaan mereka telah merebak ke seluruh Jawa dalam tahun 1700-an. Akhirnya, Belanda telah dapat pula menguasai Sumatera, terutama dalam tahun 1800-an. Pada tahun 1858 Siak telah dikuasai oleh Belanda. Seterusnya Belanda telah mengukuhkan kedudukannya di Sumatera Utara setelah menundukkan Acheh dalam tahun 1873.

Setelah Belanda dapat mengawal kawasan pantai timur Sumatera, yang disebut mereka sebagai ’Oostkoost van Sumatra’, maka ditetapkan pusat pemerintahan untuk kawasan itu di Bengkalis, kemudian dipindahkan ke Siak. Sambil itu Belanda telah mendakwa bahawa seluruh kawasan yang merupakan naungan Siak juga adalah naungan Belanda, termasuklah negeri Langkat ini. Berikutan itu, Kesultanan Siak masih dapat bertahan di bawah pengawalan Belanda.

Sebaliknya, kebanyakan pembesar di beberapa kawasan di Sumatera Utara berhasrat untuk memerdekakan diri dari pengaruh Siak, seperti Kerajaan Deli, Asahan dan Langkat. Berkaitan itu, hasrat pembesar kawasan Langkat untuk memerdekakan diri dari pengaruh Kesultanan Siak telah mendapat sokongan Belanda pula, yang memang mempunyai polisi untuk memecah belah, ’divide and rule’. Berikutnya kerajaan beraja yang baru telah diwujudkan di Langkat.

Dalam tahun 1887, seorang anak raja bernama Pangeran Musa telah ditabalkan menjadi Sultan Langkat yang pertama, bergelar SULTAN MUSA AL-MUADZAM SHAH. Baginda adalah keturunan ke enam daripada Dewa Shahdan (1500-1580), yang dilahirkan dalam tahun 1807. Permaisuri baginda ialah Tengku Maslaurah binti Tengku Desan, berasal dari Langkat juga. Pada peringkat awal penabalannya, baginda telah ditentang oleh Raja Stabat, Sultan Muhammad Shekh, tetapi dapat dikalahkan.

Dalam zaman pemerintahan Sultan Musa, sebuah kompleks pusat pengajian agama (pesantren) yang terkenal telah didirikan, dikenali sebagai Pesantren Babussalam. Pusat pengajian ini dipimpin oleh seorang ulama terkenal, yang membawa aliran / tarekat Naqsyabandiah Khalidiah, iaitu Sheikh Abdul Wahab Rokan.

Baginda Sultan Musa telah berangkat menunaikan fardhu haji di Mekah. Setelah pulang ke tanah air, baginda ingin terus beribadat, sehingga telah mengambil keputusan untuk melepaskan takhta. Seterusnya baginda menyerahkan pemerintahan kepada puteranya yang bungsu, iaitu Tengku Abdul Aziz. Baginda terus meninggalkan istana untuk tinggal di Pesantren Babussalam yang sangat dicintainya, sambil menjadi pengikut Sheikh Abdul Wahab dengan tekunnya, sehingga ke akhir hayat baginda. Dengan itu, baginda dikenali juga sebagai Sultan Musa Al-Khalidi Al-Naqsabandi al-Muadzzam Shah. Baginda mangkat dalam bulan May tahun 1897.

Sheikh Abdul Wahab Rokan yang berasal dari daerah Melayu Riau itu beristerikan kerabat Langkat. Beliau mempunyai ramai pengikut, termasuk dari Kedah dan amnya seluruh Malaysia. Antara murid yang utama ialah Sheikh Yusuf dari Temong, Perak. Ramai pula pengikut Sheikh Yusuf ini yang membuka pusat tarekat sendiri seperti Tn Hj Yatim (Tg Pauh, Kedah), Sheikh Yaakob (Perlis). Setelah Sheikh Abdul Wahab meninggal dunia, pesantrennya dikelolakan oleh anaknya pula, iaitu Sheikh Daud. Seterusnya, setelah ketiadaan beliau ini, tempat diambil alih oleh anaknya Sheikh Anas, diikuti adiknya Sheikh Tajuddin, yang mengurus kesinambungan Darussalam hingga kini.

Setelah meninggalkan takhta, puteranya ditabalkan menjadi Sultan Langkat, bergelar SULTAN ABDUL AZIZ ABDUL JALIL RAHMAT SHAH dalam tahun 1892. Sumber rujukan mencatatkan baginda dilahirkan pada 9 May 1878. Ini bererti, baginda telah menaiki takhta ketika berusia 14 tahun. Upacara pertabalan telah dijalankan di Tanjung Pura pada 23hb May tahun 1894. Baginda telah dikahwinkan dengan cucunda Sultan Deli, Sultan Othman Perkasa Alam Shah I (memerintah 1850-1858), iaitu Tengku Al-Autiah binti Raja Muda Deli Tengku Sulaiman. Baginda ini telah ditabalkan menjadi Sultanah Langkat pada tahun 1892 juga, bergelar TENGKU MAHSURI AL-AUTIAH. Namun, takdir telah menentukan bahawa perpisahan telah terjadi buat selamanya pada 31 Oktober 1897.

Berikutnya, Sultan Abdul Aziz telah memperisterikan pula seorang puteri diraja dari Kedah, iaitu Tunku Aishah, yang telah ditabalkan sebagai permaisuri dengan gelaran Tengku Permaisuri Aishah. Namun, Tunku Aishah juga telah mangkat semasa umur muda, iaitu ketika dalam pantang melahirkan puterinya.

Dalam tahun 1919, Sultan Abdul Aziz Abdul Jalil Rahmat Shah berkahwin sekali lagi, iaitu dengan Tengku Zaharah binti Sultan Alauddin Sulaiman Shah dari negeri Selangor. Dalam tahun itu juga, baginda ini telah ditabalkan menjadi Permaisuri Langkat dengan gelar Tengku Permaisuri Zaharah.Tengku Permaisuri Zaharah telah melahirkan seorang puteri, iaitu Tengku Rahimah.

Berikutnya, Tengku Rahimah telah dikahwinkan dengan putera dari Selangor pula, iaitu Tengku Salahuddin ibni Sultan Hishamuddin Alam Shah, cucunda Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Apabila baginda ini telah ditabalkan menjadi Sultan Selangor, bergelar Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, maka baginda telah ditabalkan sebagai Permaisuri Selangor, bergelar Tengku Ampuan Rahimah.

Dalam zaman pemerintahan Sultan Abdul Aziz banyak pula kemajuan yang telah dicapai. Sebuah masjid besar dan cantik telah dibina di Tanjung Pura, dinamakan Masjid Azizi. Masjid inilah yang menjadi inspirasi corak pembinaan Masjid Zahir di Alor Setar, semasa masih dalam cadangan pembinaannya. Masjid ini terkenal dengan menaranya yang tinggi, dengan 120 anak tangga. Kini masjid ini diiktiraf oleh pemerintah Republik Indonesia sebagai suatu warisan sejarah.

Dalam zaman pemerintahan baginda juga sebuah pusat pengajian tinggi telah didirikan, dinamakan Maktab Azizi, dalam tahun 1927. Ramai pelajar dari luar daerah telah datang menimba ilmu di Langkat, melalui pusat pengajian ini. Antaranya adalah mantan Naib Presiden Indonesia, Tun Adam Malik.

Sultan Abdul Aziz telah mangkat dalam tahun 1927. Berikutnya salah seorang putera baginda telah ditabalkan menjadi Sultan Langkat, bergelar SULTAN MAHMUD ABDUL JALIL RAHMAT SHAH. Sultan Mahmud telah berkahwin dengan seorang puteri dari Negeri Kualuh, bernama Tengku Raudah binti Yang Dipertuan Mohammad Shah. Baginda ini telah ditabalkan menjadi Permaisuri Langkat, bergelar TENGKU MAHSURI RAUDAH.

Berikutnya, takdir telah menentukan pula bahawa Kesultanan Langkat terpaksa berakhir, apabila berlaku peristiwa revolusi kemerdekaan Republik Indonesia. Dalam revolusi ini, rakyat telah bangun menentang Belanda. Berkaitan itu pemimpin-pemempin tradisional negeri juga telah diketepikan. Sultan Mahmud Abdul Jalil terpaksa berundur dari takhtanya dalam tahun 1948. Berikutan itu juga, Raja Muda Langkat iaitu Tengku Musa telah ’hilang’ dalam tahun 1946, tanpa dapat dikesan.

Setelah revolusi kemerdekaan Republik Indonesia, pemerintahan beraja negeri ini telah dimansuhkan. Berikutan itu, taraf pemerintahan negeri telah diturunkan menjadi taraf ‘kabupaten’ (=kebupatian=daerah), yang dipimpin oleh seorang ‘Bupati’ (iaitu setaraf Pegawai Daerah di Malaysia). Kini, pusat pentadbiran daerah Langkat telah berubah ke STABAT.


SENARAI RAJA-RAJA LANGKAT DAN PEMIMPIN ADAT

Dewa Shahdan (1500-1580)
Dewa Sakti
Raja Kahar
Raja Badiuzzaman (17..-17..)
Kejuruan Tuwa Hitam (17..-1818) (m. 1822)
Raja Ahmad / Amat (1818-1840) (lh. 1807, m. 1840)
Tengku Ngah (1840-1887) / Sultan Musa Al-Muadzam Shah / Sultan Musa Al-Khalidi Naksabandi Al-Muadzzam Shah (1887-1892) (lh. 1807, m. 1897)
Sultan Abdul Aziz Abdul Jalil Rahmat Shah (1892-1927)
Sultan Mahmud Abdul Jalil Rahmat Shah (1927-1948)
Ketua Adat Langkat Tengku Atha’ar ibni Sultan Mahmud Abdul Jalil Rahmat Shah (1948-1990)
Ketua Adat Langkat Tengku Mustafa Kamal Pasha ibni Sultan Mahmud Abdul Jalil Rahmat Shah (1990-.....)
Ketua Adat Langkat Tengku Iskandar Hilali Abdul Jalil Rahmat Shah (2002-2003)
Ketua Adat Langkat Tengku Azwar Abdul Jalil Rahmat Shah (2003)


SILSILAH RAJA-RAJA LANGKAT

Dewa Shahdan (1500-1580)


Dewa Sakti Puteri Hijau

Raja Kahar

Raja Badi-uz-Zaman



Kejuruan Tuwa Hitam Raja Indera Bungsu Raja Wan Jabar Raja Syahban


Raja Nobat Shah Raja Ahmad / Amat


Tengku Ngah (1840-1887) / Sultan Musa Al-Muadzam Shah (1887-1892)
Sultan Musa Al-Khalidi Naksabandi Al-Muadzzam Shah
X Tengku Maslaurah


Sultan Abdul Aziz Abdul Jalil Rahmat Shah
X Tengku Mahsuri Al-Autiah (Deli)
X Tengku Permaisuri Aishah (Kedah)
X Tengku Permaisuri Zaharah (Selangor)



Sultan Mahmud Abdul Jalil Rahmat Shah Tengku Ahmad Tengku Lailan Shafinah Tengku Rahimah
X Tengku Mahsuri Raudah X Tunku Maharom (Kedah)


Ketua Adat Langkat
Tengku Atha’ar ibni Sultan Mahmud Abdul Jalil Rahmat Shah


Ketua Adat Langkat Tengku
Mustafa Kamal Pasha ibni Sultan Mahmud Abdul Jalil Rahmat Shah


Ketua Adat Langkat
Tengku Iskandar Hilali Abdul Jalil Rahmat Shah


Ketua Adat Langkat
Tengku Azwar Abdul Jalil Rahmat Shah

PERHUBUNGAN DIRAJA LANGKAT-KEDAH

Perhubungan dengan Kedah Darul Aman dengan negeri Langkat telah bersemarak semenjak awal penubuhan negeri, iaitu semasa pemerintahan Sultan Musa (1887-1892) lagi, apabila baginda telah berbesan dengan Sultan Zainul Rashid Al-Muadzam Shah, yang memerintah Kedah antara tahun 1843-1854 Masihi. Putera Sultan Musa yang bungsu, iaitu Tengku Abdul Aziz (kemudian menjadi Sultan Langkat) telah dikahwinkan dengan salah seorang puteri Sultan Zainal Rashid, yang bernama Tunku Aishah. Tunku Aishah telah dilantik menjadi Permaisuri Langkat, bergelar TENGKU PERMAISURI AISHAH, dalam tahun 1898.

Baginda bukan sahaja mempunyai perhubungan yang rapat dengan keluarga diraja Kedah Darul Aman, malah istana tempat mereka bersemayam di Tanjung Pura itu juga telah dinamakan ISTANA DARUL AMAN. Namun, istana itu kini sudah tiada kerana telah musnah terbakar semasa revolusi kemerdekaan Republik Indonesia.

Seperti telah disebut di atas, dari hasil perkahwinan baginda berdua, Tunku Aishah telah melahirkan seorang putera dan seorang puteri. Putera baginda dinamakan Tengku Ahmad, bergelar Pangeran Langkat, manakala puteri baginda bernama Tengku Lailan Safinah, dengan nama timang-timangannya Tengku Mas.

Tengku Lailan Shafinah telah dikahwinkan dengan putera dari Negeri Bulungan, sebuah kerajaan Melayu di Kalimantan; kemudian baginda ditabalkan menjadi Permaisuri Kerajaan Bulungan.

Namun, Tunku Aishah yang dilaporkan mempunyai rupa paras yang sangat cantik itu, tidak dikurniakan umur yang panjang. Baginda mangkat di Tanjung Pura, semasa dalam pantang selepas bersalin puterinya, dalam tahun 1904. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Tanjung Pura, Langkat; yang letaknya tidak berapa jauh dari makam seorang penyair terkenal Indonesia, iaitu Amir Hamzah.

Setelah kemangkatan Tunku Aishah, Sultan Abdul Aziz berkahwin pula dengan Tengku Zaharah binti Sultan Alauddin Sulaiman Shah dari Selangor. Tengku Zaharah ini boleh dikira sebagai salah seorang Kerabat Kedah juga kerana baginda adalah cicit Sultan Zainal Rashid Al-Muadzam Shah. Ibunda baginda ialah Tengku Maharom binti Tunku Dhiauddin (Tunku Kudin) ibni Sultan Zainal Rashid dari Kedah. Tunku Maharom adalah permaisuri Sultan Alauddin Selangor, bergelar Tengku Ampuan Maharom. Tunku Kudin adalah kekanda Tengku Permaisuri Aishah Langkat. Ini bererti, Tengku Zaharah adalah cucunda saudara Tunku Aishah sendiri. Tengku Zaharah telah ditabalkan menjadi permaisuri Langkat dalam tahun 1919, bergelar TENGKU PERMAISURI ZAHARAH. Tengku Permaisuri Zaharah inilah yang melahirkan Tengku Rahimah, yang kemudian menjadi permaisuri Selangor pula, iaitu Tengku Ampuan Rahimah.

Sekali lagi berlaku perhubungan ’matrimonial’ diraja yang penting apabila Tengku Ahmad Pangeran Langkat ibni Sultan Abdul Aziz, iaitu putera Permaisuri Aishah sendiri dikahwinkan dengan seorang puteri dari Kedah pula, iaitu Tunku Maharom binti Tunku Zainal Rashid ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882-1943). Tunku Maharom mangkat di Kelang dalam tahun 1962 ketika berumur 55 tahun (lahir tahun 1902) dan dimakamkan di Makam Diraja Kampung Jawa, Kelang, Selangor. Pangeran Langkat dan Tunku Maharom telah memperoleh lapan orang putera dan puteri semuanya.


SUMBER:

1. Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Jilid II, (F-L), terbitan DBP, hlm 1315
2. Finestone, J. & Shaharil Talib, Prof., 2002. The Royal Families of South-East Asia, Terbitan Shahindra Sdn Bhd, Malaysia.
3. Ibni Ismaily, 1989. Artikel: Tanjung Pura Kaya Dengan Sejarah, dalam Berita Harian, 12 Oktober 1989.
4. Indonesia Princely States, Part 1, in http//www.worldstatesmen.org/Indonesia_princely_states 1.html, 9/25/2004
5. Mitchiner, Michael, 1979. Oriental Coins and Their Values: Non-Islamic States and Western Colonies, London.
6. Razali Saad, 1993. yang memetik Hj Ahmad Samin Siregar, dalam Laporan Bengkel Sejarah Bahasa Melayu di Pelbagai Kota, dalam Jurnal Dewan Bahasa, keluaran Januari 1993, halaman 74.